Isu Hudud- Dakwah atau Politik?

ISU HUDUD

Hudud di Malaysia bukanlah satu dakwah ataupun ibadah. Ia adalah modal politik untuk meraih sokongan politik.

Kenapa ia dikatakan begitu? Pertama, parti yang paling utama memperjuangkan hudud iaitu PAS tidak begitu ikhlas mahu melaksanakan hudud di Malaysia.

Jika mereka ikhlas dan benar-benar komited terhadap perjuangan ini, mengapa hanya bertanding 1/3 daripada jumlah kerusi Parlimen ketika pilihanraya? 30% ahli parlimen daripada PAS tidak mampu meluluskan sebarang undang-undang di Parlimen. Jadi sudah jelas PAS bukan sahaja tidak boleh melaksanakan hudud secara bersendirian sebaliknya memerlukan kerjasama parti politik yang lain.

Soalnya, mengapa bekerjasama dengan parti politik yang terang-terangan tidak akan akan menerima hudud seperti DAP? Alasan PAS adalah ‘lambat laun DAP akan memahami hudud dan menyokong perlaksanaannya’. Benarkah? Jika demikian, hujah ‘lambat laun’ ini boleh juga diguna pakai kepada UMNO- parti melayu/Islam yang dikatakan menentang hudud. Jadi, bukankah kebarangkalian ‘lambat-laun’ ini lebih cerah terjadi kepada UMNO berbanding dengan DAP? PAS mungkin terlupa ahli UMNO juga adalah orang Islam dan ada sebilangan daripada mereka sudah faham tentang hudud. Ini sama sekali berbeza dengan ahli DAP.

Hakikatnya adalah, PAS berkongsi ‘power base’ yang sama dengan UMNO iaitu orang melayu/Islam. Jika mereka bekerjasama dengan UMNO, undi terhadap PAS tidak akan meningkat berbanding dengan bekerjasama dengan DAP. Penyokong PAS mungkin berkata inilah strategi yang baik. Memang benar. Jika demikian, mereka bersetuju strategi yang baik ini adalah untuk kuasa politik semata-mata. Apa guna kuasa ini jika di akhirnya perjuangan hudud PAS tidak tercapai kerana tentangan rakan kongsi?

Seterusnya PAS berkata hudud bukan lagi keutamaan, sebaliknya agenda kemiskinan, kezaliman, keadilan dan negara berkebajikan jauh lebih penting. Ini dapat dilihat bukan sahaja melalui manifesto mereka sebaliknya turut diterjemah apabila mereka memerintah Kedah, memegang jawatan MB Perak dan juga mempunyai kerusi terbanyak di Selangor, mereka tidak melaksanakan hudud. Sudah jelas hudud hanyalah agenda politik demi meraih undi di kalangan rakyat yang mudah ‘dibeli’ dengan tawaran hudud membawa ke syurga dan ditakutkan dengan jika tidak sokong PAS yang memperjuangkan hudud, neraka menanti mereka.

Kebenarannya adalah, PAS bukanlah badan dakwah. PAS adalah parti politik dan sebagai parti politik, mereka semakin bijak dan licik dalam strategi mereka untuk meraih sokongan. Apabila didapati bekerjasama dengan penentang tegar hudud membawa lebih banyak sokongan, PAS mengenepikan perbezaan hudud di antara parti dan juga menyingkirkan pemimpin-pemimpin yang konservatif. Ini sekali lagi membuktikan selama ini hudud hanyalah senjata politik. Apabila sudah tidak relevan, hudud tidak lagi diendahkan.

Keduanya, parti yang sering diberi gambaran sebagai menentang hudud iaitu UMNO juga menjadikan hudud sebagai agenda politik mereka. Parti ini menggunakan hudud untuk memecah-belahkan kerjasama PAS dengan DAP dan PKR. UMNO tahu hudud adalah duri dalam daging di antara pakatan PAS, DAP dan PKR. Oleh itu mereka membangkitkan isu hudud ini dengan harapan PAS akan tersepit di antara perjuangan mereka dan persefahaman di antara PAS,DAP dan PKR.

Sekiranya PAS memilih untuk meneruskan hudud, UMNO melalui MCA akan bertanya pendirian DAP dan PKR dengan harapan kedua parti ini akan bercanggah dan bertingkah dengan PAS. Sebaliknya, jika PAS memilih untuk tidak perjuangkan hudud, UMNO akan mengkritik PAS kerana bersikap hipokrit. Hakikatnya, UMNO  juga menjadikan hudud sebagai senjata politik.

Baru-baru ini hudud menjadi hangat- mungkin lebih hangat dari biasa kerana UMNO-sama ada ikhlas atau licik, tampak bersetuju hudud dilaksanakan oleh PAS di Kelantan.

Sepatutnya di zaman Tun Dr Mahahtir dan Nik Aziz sudah bersara ini, polemik hudud sudah tidak lagi kedengaran. Sudah jelas hudud di Malaysia bukanlah dakwah mahupun ibadah, sebaliknya alat politik. Rakyat Malaysia sewajarnya menjadi lebih matang dan memahami permainan ini.

Jika kedua parti ini jujur ingin melaksanakan hudud, mengapa tidak ada satu pun dialog bersama mengenai hudud bagaimana yang mereka ingin laksanakan di sebuah negara berbilang agama yang juga mempunyai dua jenis sistem kehakiman. Jika benar ‘lambat laun’ hudud akan diterima semua, mengapa tidak ada usaha PAS atau UMNO memberi penerangan kepada rakan mereka DAP, MCA dan PKR?

Mengapa setelah lebih 30 tahun, kita sebagai rakyat Malaysia masih lagi tidak mengetahui adakah hudud ini hanya untuk orang islam sahaja ataupun turut dikenakan terhadap orang bukan Islam dan sama ada undang-undang jenayah hudud ini akan menghapuskan pengamalam ‘penal code’ atau diimplementasi secara bersama. Jika dilaksanakan, adakah polis syariah akan ditubuhkan bagi tujuan penguatkuasaan?

Harus diingat asas utama Islam adalah keadilan. Keadilan hanya dapat dilihat, dinilai dan diamalkan apabila perkara-perkara sebegini dijawab. Sekadar berkata kita mahu laksanakan hudud tanpa memberi penjelasan yang jelas tentang perlaksanaannya akan membawa lebih banyak masalah dan ketidak adilan. Usah beretorik di sebalik ayat ‘ini hukum Allah’ untuk menutup mulut mereka yang mahukan penjelasan begini. Sedangkan perintah solat pun hadir bersama kaedah perlaksanaannya (berapa rakaat, rukun solat, bacaan dan sebagainya), inikan pula undang-undang jenayah yang ingin diguna pakai di dalam sebuah masyarakat yang mempunyai 30 juta manusia.

Kedua-dua parti ini iaitu PAS dan UMNO, sekiranya benar-benar ikhlas mahukan hudud di Malaysia wajib menjelaskan kepada kita berkenaan dengan persoalan-persoalan di atas.

Tanpa penjelasan yang jelas, ia sekali lagi membuktikan hudud digunakan sebagai permainan politik. Bukan sahaja mereka mempermainkan golongan yang benar-benar ikhlas mahukan hudud dan golongan yang benar-benar ambil berat akan kesan perlaksanaan hudud di Malaysia, mereka juga mempermainkan agama Islam serta sudah jelas mereka ketandusan idea dan visi terhadap negara.

Mengkritik parti politik berkenaan dengan hudud adalah berbeza dengan mempersoalkan hudud. Harap para pembaca jelas mengenai perkara ini. Mohon komen yang bernas.

MatRodi

Advertisements
Tagged , , , , ,

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: