Monthly Archives: February 2015

HARGA MINYAK, PENDAPATAN KERAJAAN DAN EKONOMI MALAYSIA

SOAL JAWAB EKONOMI 1

Harga Minyak Malaysia

S: Harga minyak dunia sudah jatuh daripada USD110 setong kepada serendah USD55. Tidakkah ini bermakna negara kehilangan pendapatan yang besar?

J: Memang benar sumber pendapatan negara akan berkurangan. Tetapi jumlahnya tidaklah sebanyak yang disangka. Mengapa?

Ini kerana Malaysia bukanlah negara pengeksport minyak yang utama dunia. Sebaliknya, kita lebih banyak mengimport minyak mentah dan petroleum berbanding dengan mengeksport.

Pada 2014, minyak mentah yang diimport adalah RM92.5 billion berbanding dengan jumlah yang dieskport sebanyak RM87.6 billion.

Oleh itu, kehilangan sumber pendapatan negara ekoran kejatuhan harga minyak akan ditampung melalui kos operasi kerajaan yang berkurangan.

Malah jika diselaraskan dengan harga minyak semasa, perbezaan di antara pendapatan dan kos operasi bajet 2015 hanyalah sekitar RM1.2 billion. Dalam bahasa mudah, inilah jumlah ‘kerugian’ sebenar kerajaan setelah dicampur tolak.

 

S: Tetapi itu adalah hasil minyak. Bagaimana pula dengan hasil daripada gas asli (LNG)?

J: Tidak dinafikan Malaysia adalah pengeksport bersih gas asli dengan kadar RM58 billion setahun. Bahkan kejatuhan harga minyak sebanyak 30% akan menyebabkan negara kehilangan pendapatan daripada LNG sebanyak RM20 billion.

Tetapi persoalannya, adakah ekonomi Malaysia terlalu bergantung kepada hasil LNG?

Hakikatnya tidak. Jika beberapa tahun lepas, hampir 40% pendapatan negara datang daripada sektor minyak dan gas. Tetapi hari ini ekonomi Malaysia sudah dipelbagaikan. Hasilnya, kita mendapat lebih banyak pendapatan daripada sumber ekonomi yang lain seperti pembinaan, perbankan, perlancongan dan perkhidmatan.

Oleh itu kebergantungan terhadap hasil minyak dan gas telah dikurangkan kepada 31% pada 2014 dan dijangka turun lagi kepada 22% untuk tahun ini.

Analoginya seperti ibu bapa yang mendapat RM1000 sebulan daripada anak sulung tetapi apabila anak sulung itu kesempitan wang, beliau hanya mampu memberi sebanyak RM600. Namun RM400 yang berkurangan itu telah ditampung oleh anak kedua dan ketiga yang telah mula bekerja. Ibu bapa masih tetap memperolehi RM1000 sebulan.

Inilah situasi yang berlaku di negara kita. Kehilangan pendapatan di sektor minyak dan gas telah ditampung melalui pendapatan di sektor lain.

S: Kalau benar kejatuhan harga minyak tidak memberikan impak yang teruk kepada ekonomi negara, mengapa mata wang ringgit jatuh dan indeks Bursa Malaysia merudum?

J: Sememangnya terdapat kesan ekoran kejatuhan harga minyak tetapi impaknya tidaklah sampai ke tahap krisis atau kegawatan ekonomi.

Untuk pengetahuan, ekonomi sesebuah negara hanya boleh dianggap gawat apabila pertumbuhan KDNK menguncup bagi dua suku tahunan berturut-turut. KDNK negara bukan sahaja tidak menguncup, malah mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6%- yang tertinggi semenjak 2007.

Ada pelbagai faktor yang menyebabkan mata wang ringgit jatuh berbanding USD. Antaranya adalah permintaan yang tinggi terhadap matawang USD itu sendiri. Ini menjelaskan mengapa mata wang lain seperti Yen, Euro, Rupiah, SG dollar juga turut jatuh.

Antara sebab lain mengapa Ringgit adalah matawang yang paling teruk prestasinya adalah kerana persepsi bahawa Malaysia akan terkesan teruk apabila harga minyak jatuh.

Sebagaimana orang ramai, para pelabur dan penganalisis juga beranggapan ekonomi Malaysia terlalu bergantung kepada sektor minyak dan gas.

Oleh yang demikian, analisis yang kurang tepat ini telah mempengaruhi pelabur-pelabur di Bursa Malaysia. Mereka ini khususnya pelabur jangka masa pendek telah membawa keluar modal sebanyak USD18.6 billion di antara September 2014 hingga Januari 2015.

Kekurangan modal di Bursa Malaysia ini sekaligus mengurangkan lagi nilai mata wang Ringgit.

Jadi bagaimana kita rumuskan situasi harga minyak rendah dengan ekonomi Malaysia?

Pertama, hanya 22% sumber ekonomi Malaysia berasaskan minyak dan gas (bukannya 40% sebagaimana yang digambarkan oleh sesetengah pihak).

Kedua, Malaysia adalah negara pengimport bersih minyak/petroleum, bukannya negara pengeskport bersih.

Ketiga- yang paling penting, sektor minyak dan gas hanya menyumbang 1% daripada jumlah keseluruhan pekerjaan di Malaysia. Oleh itu impak terus dari sudut pengangguran amat rendah jika dibandingkan dengan sektor pembuatan dan perkhidmatan yang menyumbang 87% jumlah pekerjaan.

Kesimpulannya, ekonomi negara mempunyai asas yang kukuh untuk menangani situasi harga minyak rendah. Namun begitu, asas-asas yang kukuh ini menjadi kurang bermakna sekiranya persepsi orang ramai tidak diperbetulkan.

Sesuatu mesti dilakukan oleh kerajaan untuk membetulkan persepsi ini kerana pasaran, sebagaimana yang kita tahu, kebiasaannya didorong oleh persepsi.

MatRodi

Advertisements
Tagged , ,