Monthly Archives: April 2015

GST

IG021

GST

Kos mentadbir dan mengurus negara semakin meningkat. Ianya begitu kerana populasi penduduk yang kian bertambah. Ini menyebabkan kos seperti perubatan, pendidikan, duit pencen dan subsidi juga bertambah.

Dan perkara ini bukan sahaja berlaku di Malaysia.

Di UK misalnya, pelajar antarabangsa sudah dikenakan surcaj perubatan. Ini antara langkah yang diambil oleh Britain bagi mengelakkan berlakunya defisit belanjawan sebanyak RM165 billion menjelang 2020.

Setiap kerajaan mempunyai pelbagai cara bagi menambahkan pendapatan mereka. Malaysia memilih dengan memperkenalkan cukai GST.

Memperkenalkan cukai baru bukanlah bermakna kerajaan sekarang boros, tamak, zalim dan muflis.

Sebaliknya, ia lebih kepada persediaan untuk jangka masa hadapan. Sebagaimana yang diceritakan, kos operasi kerajaan akan sentiasa meningkat. Mana-mana kerajaan yang bertanggungjawab sudah tentulah perlu mencari sumber pendapatan yang baru bagi memenuhi tuntutan di masa akan datang.

Kerajaan boleh sahaja mengambil jalan mudah dengan menaikkan cukai korporat dan individu. Kerajaan juga boleh menaikkan cukai ‘dosa’ seperti rokok, arak, judi dan sebagainya. Bahkan kerajaan boleh menaikkan tarif cukai taksiran, lesen perniagaan, bayaran parking dan menjual tanah negeri sebagaimana yang dilakukan oleh kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang.

Tetapi ini hanyalah bersifat sementara. Lebih teruk- ianya tidak adil. Bayangkan 1.9 juta sahaja daripada 8 juta pekerja yang membayar cukai pendapatan. Adakah wajar golongan ini sahaja yang perlu menanggung beban demi manfaat kesemua rakyat?

Jika cukai korporat dinaikkan terlalu tinggi pula, ia akan menjadikan Malaysia kurang menarik buat pelabur. Lebih teruk, silap-silap syarikat Malaysia pula lari ke negara lain. Tidak mustahil insta-instashop yang membayar cukai akan ‘mengamuk’ di instagram ekoran cukai korporat yang tinggi.

Oleh itu, pilihan yang ‘lesser evil’ adalah cukai GST. Hanya mereka yang berbelanja ke atas produk dan servis yang bukan keperluan akan dikenakan membayar cukai 6%. Tidakkah ini lebih demokratik dan adil?

Kerajaan Malaysia mungkin terlalu berani mengambil pendekatan yang tidak popular ini. Mereka boleh dihukum di dalam pilihanraya akan datang jika rakyat tidak berpuas hati tetapi ini tetap tidak menafikan kelebihan GST.

Pertama- GST bukan sekadar sumber pendapatan yang baru. Tetapi ianya sumber pendapatan yang ‘berterusan’. Memandangkan GST adalah cukai perbelanjaan dan orang ramai akan terus berbelanja, maka cukai akan tetap diperolehi tidak kiralah ketika ekonomi makmur atau merudum.

Ini menjelaskan mengapa 169 buah negara mempunyai GST. Dan tidak semua 169 buah negara ini adalah negara maju yang mana rakyatnya sudah kaya raya. Negara membangun seperti Burkina Faso, Vietnam, Thailand juga mempunyai GST. Di negara maju seperti UK, Japan, Jerman, Korea Selatan dan Singapura pula mengenakan GST atau VAT yang amat tinggi (sekitar 8-20%).

Perlu ditekankan juga bahawa tidak mungkin kesemua 169 buah negara ini adalah negara bebas rasuah dan tidak berlau ketirisan perbelanjaan. Bahkan sebilangan besar daripada negara-negara yang mempunyai GST ini adalah lebih mundur pengurusan ekonominya berbanding dengan Malaysia.

Apa maknanya kesemua ini?

Ini bermaksud- jumlah pendapatan rakyat, tahap pengurusan ekonomi, indeks rasuah sesebuah negara tidak pernah dijadikan sebagai kayu ukur untuk melaksanakan GST.

Oleh sebab itulah GST sudah lama dibincangkan di Malaysia sejak dari zaman Tun Daim sebagai Menteri Kewangan Malaysia lagi.

Kedua- kerajaan perlu mengurangkan lagi kebergantungan kepada Petronas. Ini kerana cukai daripada Petronas adalah tidak ‘sustainable’. Kita dapat lihat penurunan 30% harga minyak sahaja menyusutkan pendapatan negara sebanyak RM20 billion. Walaupun kos subsidi berkurangan, hakikatnya sumber pendapatan telah menyusut.

Lagipun, bukankah orang ramai sering menyelar kerajaan yang dikatakan sering menggunapakai wang Petronas untuk perbelanjaan kerajaan? Mereka sepatutnya menyokong pengenalan GST.

Ketiga- GST adalah mekanisme cukai yang lebih menyeluruh dan telus berbanding dengan cukai SST. Antara masalah dengan cukai SST adalah- ia terdedah kepada penyelewengan.

Syarikat-syarikat boleh sahaja memanipulasi jumlah jualan mereka dan ‘under-declare’ keuntungan di akhir tahun supaya mereka tidak dikenakan cukai yang tinggi kepada kerajaan.

Hal ini boleh berlaku kerana tidak ada mekanisme yang merekodkan hasil jualan mereka. Dan mengapa mereka perlu memberitahu kerajaan jumlah jualan mereka?

Setakat tahun 2012, daripada 1.02 juta syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, hanya 15.6% atau 159,000 syarikat yang membayar cukai kepada kerajaan. Di manakah hasil kepada kerajaan daripada 85% syarikat yang lain?

Amalan audit kewangan syarikat di dalam sistem sedia ada pula adalah mengikut ‘yearly-basis’. Ini secara tidak langsung memberi lebih banyak masa bagi syarikat untuk ‘adjust’ jualan dan keuntungan mereka.

Sejujurnya, syarikat-syarikat seboleh mungkin mahu membayar cukai serendah yang mungkin.

Masalah seterusnya, senarai produk dan servis yang dikenakan cukai SST adalah tidak begitu jelas. Ada kedai yang mengenakan cukai SST kepada pengguna tetapi di dalam resit nereka, cukai tersebut tidak ditulis berasingan.

Kita sendiri pun tidak mengetahui barangan tersebut pernah mengenakan SST ataupun tidak. Oleh yang demikian, bolehkah kita jangka cukai SST ini akan disalurkan kepada kerajaan?

Kelemahan-kelemahan cukai SST ini menyebabkan kerajaan kehilangan ‘pendapatan’ yang sepatutnya diperolehi. Situasi ini dipanggil sebagai ‘hidden economy’.

Tidak ada data yang khusus berapakah kehilangan pendapatan kerajaan tetapi menurut LHDN, ‘hidden economy’ di Malaysia adalah sekitar 20-30% daripada keseluruhan saiz ekonomi negara.

Ini bermaksud jumlahnya adalah sekitar RM200-250 bil. Melalui GST yang menggantikan SST, jumlah ini dapat dikurangkan.

GST memastikan kerajaan memperolehi pendapatan di setiap rantaian ekonomi daripada pengeluar, pemborong, peruncit hinggalah kepada pengguna.

Oleh sebab itu, perkara pertama yang mesti dilakukan apabila ingin memperkenalkan GST adalah dengan mendaftarkan syarikat-syarikat.

Ini penting supaya kerajaan dapat mengetahui berapa banyak syarikat yang hasil jualannya layak untuk dikenakan cukai GST.

Syarikat juga terpaksa merekod dan melaporkan hasil jualan mereka setiap bulan. Ini memberi insentif kepada mereka supaya tidak memanipulasi jualan. Jika tidak rekod, mereka tidak dapat ‘claim’ rebat GST dan akan dikenakan denda.

Hakikat bahawa 345,376 syarikat iaitu 95000 lebih daripada sasaran 250,000 syarikat yang berdaftar dengan GST sahaja membuktikan begitu besar saiz ‘hidden economy’ di Malaysia.

Lebih menarik, daripada 345 ribu syarikat yang berdaftar ini, didapati 10% daripada mereka tidak pernah memiliki rekod cukai atau fail cukai! Kita bercakap mengenai 30,000 buah syarikat yang mempunyai jualan melebihi RM500,000 setiap tahun yang tidak pernah membayar cukai.

Tanpa GST, kita tidak akan berjaya mengesan dan memaksa syarikat-syarikat ini untuk membantu memberi sumbangan kepada negara.

Adakah salah untuk kerajaan mengenakan GST supaya mendapat sedikit pendapatan daripada rantaian ekonomi ini?

Mereka yang sinis berkata jika GST terlalu bagus, mengapa hanya dikenakan 6%? Panadol juga bagus untuk demam- tetapi tidak diambil sehingga dua papan untuk pening kepala.

Adakah GST akan menaikkan harga barangan?

Ia bergantung. Barangan dan servis yang sudah mengenakan cukai SST 6-10% seharusnya tidak naik harganya. Ini dapat dilihat mengapa KFC, McD, Proton, Honda dsbg yang bahkan turun harganya.

Jika harga barangan turun, bagaimana pendapatan kerajaan bertambah?

Ini kerana terdapat lebih banyak barangan dan servis yang tidak pernah mengenakan SST akan mengenakan cukai GST. Jadi akan ada bilangan barang dan servis yang naik harganya.

Tuntasnya- GST adalah usaha mereformasikan sistem cukai di Malaysia. Kerajaan tidak menjadi kaya raya dalam masa terdekat.

Hasil kutipan GST pada tahun pertama adalah RM23.2 billion. Daripada jumlah ini, RM3.8 billion akan ditolak bagi menampung kos barangan dan serivs yang dikecualikan.

Pemansuhan SST pula menyebabkan kerajaan kehilangan pendapatan sebanyak RM13.8 billion. Ini menjadikan hasil bersih daripada GST adalah sebanyak RM5.6 billion.

Dalam konteks sebuah kerajaan, RM5.6 billion bukanlah satu jumlah yang besar. Jika kerajaan begitu terdesak mahukan dana sebesar ini, kerajaan boleh sahaja menerbitkan bon atau sukuk. Atau menjual tanah kerajaan di kawasan premium yang dengan mudahnya membawa hasil billion ringgit.

Cara-cara ini tidak perlu mengambil masa 18 bulan, memperkenalkan Akta baru dan mendaftar ratusan ribu syarikat seperti GST.

Adalah satu tindakan yang kurang bijak jika demi RM5.6 billion- sebuah kerajaan sanggup mengambil risiko untuk mengenalkan cukai baru dan berkemungkinan kalah di dalam pilihan raya.

Sebagaimana polisi PPSMI, GST adalah contoh terbaik bagaimana bagus pun sesebuah polisi itu, jika perlaksanaannya bercempara, ia tetap akan mendatangkan masalah kepada kerajaan.

Usaha seperti kartun GST, lagu GST dan kenyataan ‘harga tidak naik’ menunjukkan kerajaan ‘underestimate’ fikrah orang ramai.

Kerajaan juga ‘underestimate’ peniaga Malaysia yang diketahui suka mengambil kesempatan di atas peluang-peluang sebegini.

Asalkan minyak naik 10 sen pun harga naik (tetapi tidak turun bila harga minyak turun), inikan pula pengenalan cukai baru.

Hakikat bahawa mereka terang-terangan melakukan jualan pra-GST yang secara tidak langsung memberi gambaran harga akan naik adalah satu ‘direct confrontation’ kepada kerajaan sendiri. Malangnya, kerajaan sekadar berkata mereka ‘tidak cukup kakitangan’.

Di mana ketegasan dan keberanian kerajaan untuk meneruskan sesuatu polisi yang tidak popular? Alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan.

MatRodi

Advertisements
Tagged , , , ,