Monthly Archives: July 2015

PROTON 30 TAHUN

PROTON 30 TAHUN

IG043

Kebiasaannya kos bagi memulakan syarikat automotif mencecah berbillion dolar. General Motor membelanjakan USD5 billion hanya untuk pembangunan kereta hybrid. Kereta elektrik Tesla Motor menelan belanja USD6 billion. Namun, Proton bermula dengan modal sebanyak RM150 juta dan pinjaman RM800 juta (USD250 juta). Pinjaman ini tidak diuruskan oleh Goldman Sach sebaliknya diperoleh terus daripada kerajaan.

Ketika Proton dibangunkan, pasaran automotif Malaysia hanyalah bernilai 23 ribu kereta setahun. Maksudnya industri ini teramatlah keci.

Jika permintaan bertambah secara konsisten selari dengan pertumbuhan ekonomi 6% setahun, pasaran automotif Malaysia hari ini hanyalah akan sebesar 132 ribu kereta setahun

Tetapi melalui Proton, kerajaan telah merancakkan industri tersebut yang mana hari ini sebanyak 685 ribu kereta terjual dalam setahun. Peningkatan 5 kali ganda ini sudah pastilah ada kaitannya dengan kewujudan Proton.

Selama 30 tahun, Proton telah menjual 4 juta kenderaan. Sebaliknya Proton bukan sekadar menjual kereta, ia telah membantu mewujudkan ‘sistem rantaian nilai yang lengkap’ melalui industri hilirannya.

Tiada siapa dapat menafikan sumbangan Proton di dalam pembangunan vendor, alat ganti, reka bentuk, insurans, kewangan, pemasaran dan banyak lagi. Untuk rekod, Proton telah melabur RM20 billion bagi tujuan ini semenjak penubuhannya.

Dahulunya, rakyat Malaysia (terutama bumiputera) menghadapi kesukaran untuk mendapatkan rakan niaga di dalam sektor automotif kerana tiada kepakaran dan modal. Tetapi Proton telah memberikan mereka peluang tersebut. Bahkan ada di kalangan mereka yang kini menjadi pengedar kereta asing di Malaysia dan berjaya.

Jasa terbesar Proton adalah mewujudkan pekerjaan. Lebih 77 ribu pekerja yang terlibat terus dengan Proton. Berapa banyakkah syarikat di Malaysia yang mampu menyediakan peluang pekerjaan sebanyak ini?

Ia bukan sahaja menyediakan pekerjaan biasa tetapi turut mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi. Sedikit sebanyak, jurutera tempatan berkhidmat di dalam negara tanpa perlua menjadi sebahagian daripada ‘brain drain’.

Dengan kemudahan, kepakaran dan infrastruktur yang ada, ia telah menarik minat lebih banyak pengeluar kereta asing untuk melabur di Malaysia. Bukan sahaja lebih banyak kereta dapat dijual, peluang pekerjaan dan perniagaan yang dijana juga bertambah. Ini telah mengembangkan lagi saiz ekonomi bagi industri automotif negara.

Pernahkah kita terfikir bagaimana Volkswagen, Honda dan Mercedes mampu membuka kilang CKD di Malaysia?

Ada yang berkata- tanpa kereta nasional, kita masih boleh mengutip cukai hasil jualan kereta import. Tetapi apabila kita membeli kereta asing, pengaliran wang keluar akan berlaku. Dan jumlah ini melebihi daripada jumlah cukai yang dikutip.

Sebagai negara berdagang, akaun dagang kita perlu diseimbangkan. Jika barangan import melebihi eksport, defisit akan berlaku. Kita boleh meminjam untuk membayar defisit tersebut tetapi jika kita berhutang hanya untuk membayar defisit, negara akan muflis sebagaimana Greece.

Walaupun Proton tidak begitu berjaya mengeksport keretanya, Proton memastikan tiada aliran wang keluar dengan pembelian kereta nasional.

Jika diambil purata harga kereta Proton sebanyak RM30,000 dan Proton telah menjual 4 juta kenderaan, ini bermakna sejumlah RM120 billion telah mengalir di dalam kegiatan ekonomi negara. Tanpa Proton, RM120 billion ini akan mengalir keluar ke negara-negara asing.

Pengkritik tegar Proton berkata mengapa Malaysia tidak menjadi hub pemasangan kereta seperti Indonesia atau Thailand. Ini juga boleh mewujudkan peluang pekerjaan.

Memang betul. Tetapi sekadar menjadi hub pemasangan kereta dengan menyediakan tenaga buruh yang rendah tidak menjadikan kita sebagai sebuah negara yang maju. Kita patut lihat di kedua-dua negara ini- adakah mereka mempunyai kepakaran membina kereta daripada rekaan di atas kertas sehinggalah dipandu di atas jalan raya sebagaimana Malaysia?

Tidak. Sebaliknya apabila Proton Saga pertama dilancarkan pada 1985, ia hanya mempunyai sekitar 19% kandungan tempatan. Tetapi hanya selepas 15 tahun, kereta Proton Waja adalah 100% buatan tempatan- daripada rekaan dan bahan sehinggalah ke prototaip dan kereta sebenar. Lebih menarik, Proton membangunkan model baru pada kos 1/3 daripada apa yang sering dibelanjakan oleh pengeluar kereta lain.

Ini adalah bukti bagaimana melalui Proton, kita dapat mempelajari teknologi, skil dan pengetahuan berkenaan automotif yang memerlukan pengetahuan dan disiplin yang amat tinggi.

Tidak hairanlah Indonesia mengajak Proton untuk membantu membina kereta nasional mereka kerana mereka juga sedar negara yang maju adalah negara yang mencipta, bukannya negara yang membeli. Dan mengapa mereka mengajak Proton bekerjasama jika syarikat ini tiada kepakaran?

Selepas tahun kegemilangan Proton pada 2002 yang menyaksikan Proton meraih rekod jualan RM10 billion dan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM1.5 billion, Proton memasuki era yang mencabar.

Daripada memiliki saiz pasaran sebesar 80% di Malaysia, kini ia sekitar 17% dan di belakang Perodua, Toyota dan Honda.

Persepsi buruk mengenai kualiti kereta Proton masih tidak hilang walaupun model Proton Iriz dan Suprima standing dengan kereta luar.

Proton hanya menghasilkan 120 ribu kereta setahun walaupun kapasiti kilangnya adalah 370 ribu. Ia tidak mempunya ‘economies of scale’ kepada kesemua 400 pengedarnya.

Separuh daripada pembekal vendornya terkesan dengan kejatuhan Ringgit pada masa kini. Kuasa beli rakyat Malaysia juga semakin susut apabila hanya 4 daripada 10 pemohon pinjaman kereta Proton mendapat kelulusan bank.

Perlindungan terhadap Proton sudah banyak dikurangkan. Perlepasan cukai yang dinikmati Proton juga boleh diberikan kepada kereta asing sekiranya mereka menggunakan 90% kandungan tempatan dan dibina di Malaysia. Insentif ini diberikan walaupun Proton tidak diberikan keistimewaan yang sama di negara-negara pengeluar kereta tersebut.

Rakyat Malaysia tampaknya sudah tidak mahu memberi masa lagi kepada Proton. Seringkali mereka membandingkan kejayaan Kia dan Hyundai yang jauh lebih lama wujud berbanding Proton.

Tetapi mereka terlupa seawal tahun 2000 lagi Korea Selatan adalah negara yang mempunyai pemegang Phd per kapita tertinggi di dunia. Sudah tentulah tahap pemikiran, innovasi dan produktiviti masyarakat mereka berbeza dengan masyarakat Malaysia.

Mereka terlupa di sebalik kejayaan Hyundai Elantra, wujud Hyundai Excel dan Sonata yang menjadi bahan ketawa masyarakat dunia. Di sebalik kehebatan Kia Optima, pernah ada Kia Amanti yang tidak pernah laku.

Setiap syarikat automotif terbesar dunia pernah berdepan cabaran getir. Mereka biasanya akan menjadi lebih berjaya selepas itu. Proton tidak terkecuali.

Proton tidak memerlukan ‘bail out’ USD150 billion seperti apa yang dilakukan Amerika Syarikat terhadap General Motors. Ia hanya memerlukan masa dan sokongan rakyat Malaysia.

Proton sudah pun mengubah ‘SOP’ pengeluaran keretanya. Sebelumnya, satu daripada 40 kereta akan diuji selepas dipasang. Tetapi kini setiap unit akan diperiksa sebelum dijual. Ini bertujuan untuk menjamin kualiti kereta..

RM2 billion akan dibelanjakan untuk model baru dan juga menaik taraf pengedarnya menjadi pusat 4S sebagaimana VW, Toyota dan Honda.

Kereta Proton akan dihasilkan memenuhi kehendak eskport pasaran tertentu. Misalnya Preve, Persona dan Suprima akan diubahsuai menjadi kereta ‘left-hand drive (LHD)’. Kereta Proton juga akan mempunyai nilai ‘secondhand’ dengan inisiatif kereta Proton ‘Reconditioned’.

Dulu Proton begitu untung apabila bekerjasama dengan Mitsubishi. Perodua juga begitu hasil usahama dengan Daihatsu. Oleh itu Proton akan menghasilkan kereta kompak bersama Suzuki. Sebagai timbal balik, 60,000 kereta Suzuki akan dipasang di kilang Proton.

Ini sedikit sebanyak langkah pemulihan Proton.

Proton akan berjaya. Inilah jenama yang masih kukuh ketika jenama terkenal seperti Austin (UK), Saab (Sweden), Rover, Hummer, Cadillac, Pontiac (USA) dan banyak lagi telah lenyap di Eropah dan Amerika.

That itself, a minor miracle.

Selamat ulang tahun ke 30 Proton Holdings Berhad​! Dan juga Selamat Hari Jadi ke 90 buat Pengerusi Eksekutif Proton, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad​.

MatRodi
Pengguna Setia Proton Waja sejak 2005.

ps: Proton telah membayar setiap sen wang yang dipinjam daripada kerajaan tanpa perlu menjual aset atau membuat hutang baru. Ini barulah syarikat pembangunan strategik negara!

Tagged , , ,