Monthly Archives: August 2015

SOALAN KEPADA TUKANG JAWAB

Dalam cubaan membela PM Najib Razak, YB Rahman Dahlan telah mengesahkan bahawa wang derma USD700 juta telah masuk ke akaun peribadi Presiden parti.

Maknanya, ini bukannya akaun parti yang dibuka dan didaftarkan di atas nama tiga pemegang amanah sebagaimana amalan parti dahulunya.

Sebaliknya- ini adalah akaun peribadi.

Menerima derma sebanyak itu dan dimasukkan ke akaun parti politik tidak ada salahnya. Parti boleh menerima 2.6 billion mahupun 260 billion wang derma. Malah bukan isunya. Hatta NGO yang kononnya ‘Bersih’ juga diberikan ‘derma’ dari pihak luar untuk kegiatan mereka.

Tetapi menerima derma sejumlah wang tersebut dan dimasukkan ke dalam akaun peribadi presiden boleh menimbulkan persoalan.

Persoalan pertama adalah adakah ahli Majlis Tertinggi telah berbincang dan bersetuju menjadikan akaun peribadi Presiden parti bagi tujuan menerima derma?

Jika sudah berbincang dan sepakat, mengapa terdapat ahli Majlis Tertinggi merangkap Menteri Penerangan ketika itu (Shabery Cheek) berkata “tidak logik PM ambil wang sebanyak itu masuk ke akaun peribadi.”

Bahkan, Ketua Penerangan UMNO Ahmad Maslan berkeras “Perdana Menteri bodoh mana yang akan mengambil RM2.67 bilion untuk dimasukkan ke dalam akaun peribadinya. Jika benar, ia adalah kebebalan yang terlalu amat sangat,”

Adakah ini cubaan mereka untuk menggulingkan presiden parti yang dipilih secara demokratik?

Tetapi mereka tidak pula digugurkan daripada jemaah kabinet sebagaimana nasib Timbalan dan Naib Presiden.Tidak juga mereka disoal siasat polis.

Sama ada PM Najib telah melakukan kebebalan yang teramat sangat ataupun tidak tidaklah penting.

Persoalannya yang kedua adalah, jika perkara ini tidak pernah dibincangkan di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi, siapa pula yang memberikan kebenaran untuk menjadikan akaun peribadi beliau sebagai akaun amanah?

Tidak logik Presiden melantik diri sendiri tanpa berbincang. Perlembagaan UMNO juga tidak mempunyai peruntukan tersebut.

Persoalan ketiga- jika ahli MT UMNO tidak tahu mengenai wang derma ini dan sememangnya derma tersebut digunakan untuk tujuan politik, tujuan politik siapa?

Politik parti ataupun politik Presiden parti?

Jika politik parti, masakan ahli MT UMNO tidak tahu?

Jika politik presiden parti, tidakkah ini bermakna beliau telah menggunakan wang tersebut bagi tujuan peribadi?

Ini bercanggah dengan kenyataan beliau yang menafikan penggunaan sebarang wang bagi keuntungan peribadi. Sesungguhnya memenangi pilihanraya akan mengekalkan beliau sebagai Perdana Menteri dan ini adalah keuntungan bagi dirinya.

Pengarah Komunikasi Barisan Nasional serta barisan menteri yang baru dilantik boleh berkata apa sahaja mengenai derma politik. Mereka boleh berkata seperti adalah lebih selamat wang derma masuk ke akaun peribadi PM dan parti memerlukan lebih banyak wang.

Tetapi ini bukanlah kebenaran sebaliknya skrip/jawapan yang dibuat ‘after thought’.

Hakikat perkara ini baru disebut berminggu-minggu selepas pendedahan awal dibuat membuktikan mereka juga seperti kita semua yang tidak tahu apa-apa.

Isu mengapa wang derma ke akaun peribadi presiden penting bukan kerana kita tidak mahu wang derma bagi perjuangan parti. Ramai yang faham keperluan dana yang banyak untuk kerja-kerja politik.

Sebaliknya, kita tidak mahu ‘rasuah jadi budaya, amanah dikhianati dan parti membisu hanya untuk membela golongan tertentu atas nama kesetiaan pada parti. Atau disiplin kepartian mentaati pemimpin’ – sebagaimana yang disebut oleh MB Johor.

Mat Rodi

ps: Persoalan terakhir adalah, kalau akaun peribadi PM dikatakan sebagai akaun amanah parti, bagaimana pula wang derma yang masuk ke akaun peribadi isterinya?

Itu amanah untuk apa/siapa?

Tagged , , , , ,