Monthly Archives: December 2015

LEGASI NAJIB?

LEGASI NAJIB?

IG044

Jika membaca apa yang ditulis oleh penyokong-penyokong 1MDB, PM Najib adalah Perdana Menteri yang terbaik yang Malaysia pernah saksikan.

Mengikut logik mereka ini juga, Tun Dr Mahathir merupakan Perdana Menteri yang terburuk, bahkan paling banyak menyusahkan rakyat Malaysia menerusi perjanjian konsesi tol, pembinaan IPP dan keengganan beliau melaksanakan cukai GST.

Ini tidaklah menghairankan kerana PM Najib sendiri secara terbuka telah menyalahkan perjanjian di zaman Tun Dr Mahathir ketika ucapan penutup PAU baru-baru ini.

Ibarat bapa borek, anak rintik. Ketua mengorek, pengikut membodek. Maka ditimbulkanlah kembali segala macam dasar negara dari pemerintahan yang lepas agar rakyat jelata memaafkan skandal 1MDB dan derma RM2.6 bilion ke akaun peribadi seorang penjawat awam.

Hairannya, penyokong-penyokong yang gian menyalahkan Tun M seolah-olah merasakan PM Najib tidak pernah berada dalam kabinet ketika keputusan dan perjanjian tersebut dibuat.

Mungkin mereka terlupa akan konsep tanggungjawab bersama (collective responsibility).

Atau mungkin konsep tersebut hanya terpakai apabila skandal 1MDB berlaku dan apabila Timbalan PM serta seorang menteri membangkitkan isu tersebut, mereka dituduh tidak menghormati konsep tersebut lalu dipecat.

Katakanlah PM Malaysia sekarang hanya menceburi bidang politik selepas persaraan Tun M, dan kesemua kenaikan tambang pengakutan awam, harga tol dan tariff elektrik adalah legasi Perdana Menteri yang lepas, bagaimana pula halnya dengan PM Najib Razak? Adakah beliau tidak mempunyai legasi yang telah menyusahkan hidup rakyat?

Hakikatnya ada- jika kita menggunakan logik yang sama yang diguna pakai oleh penyokong PM Najib.

SeMenjak tahun 2009, harga rumah di Malaysia telah meningkat terlalu mendadak dengan kenaikan 10.1% setahun sehingga tahun 2014.

Kenaikan ini amat luar biasa memandangkan kadar kenaikan harga rumah daripada tahun 2000 hingga 2009 hanyalah sekitar 3.1%.

Ini bermakna rumah yang berharga RM285,000 pada tahun 2000 telah berharga RM606,000 pada 2014*. Sepatutnya rumah tersebut akan berharga RM437,000 jika kadar kenaikan tidak keterlaluan.**

*(CAGR 2000-2008: 3.1%, CAGR 2009-2014: 10.1%)

**(CAGR 2009-2014: 3.1%)

Ini menjadikan perbezaan sebanyak RM169,000! Jika pinjaman perumahan dibuat, pembeli akan membayar RM2,750 sebulan selama 30 tahun.

Jumlah ini adalah RM770 lebih tinggi jika kadar kenaikan harga rumah hanyalah sekitar 3.1%.***

***(Pinjaman 90% dengan kadar faedah 4.45% selama 30 tahun)

Apa sebenarnya yang berlaku pada tahun 2009 yang menyebabkan harga rumah meningkat terlalu mendadak?

Pertama, kerajaan telah menghentikan kadar cukai RPGT pada 2007. Sebelumnya, kerajaan sentiasa mengenakan cukai 30% bagi penjualan hartanah dalam tempoh dua tahun pertama.

Fullscreen capture 12262015 84103 AM.bmp

Kadar 0% dikekalkan pada 2009 walaupun Malaysia mempunyai Menteri Kewangan dan Perdana Menteri baru.

Kedua, kerajaan pada tahun 2011 telah membenarkan pemaju hartanah untuk memperkenalkan skim DIBS di mana pembeli rumah tidak perlu membayar apa-apa bayaran progresif kerana telah ditanggung oleh pemaju.

Amalan ini telah menyebabkan pemaju hartanah menjual rumah pada harga 30% lebih mahal dan kebanyakan pembeli adalah daripada golongan pelabur dan spekulator yang berharap akan menjual kembali rumah tersebut pada harga yang lebih mahal apabila siap.

Fullscreen capture 12272015 41111 PM.bmp

Kedua-dua perkara ini adalah antara sebab utama mengapa harga rumah naik begitu tinggi.

Hari ini penyokong PM Najib mengatakan rakyat Malaysia telah menanggung akibat daripada perjanjian berat sebelah di zaman Tun M.

Tetapi bolehkah mereka memberitahu kepada kita bahawa PM sekarang telah gagal dalam merencana polisi dan telah gagal dalam mengawal harga rumah di Malaysia semenjak 2009? Ini sama buruknya, bahkan lebih teruk berbanding dengan perjanjian berat sebelah yang dibuat oleh seorang bekas Perdana Menteri.

Harus diingat, bayaran pinjaman perumahan adalah 40%-60% daripada perbelanjaan bulanan isi rumah. Sebarang kenaikan (apatah lagi kenaikan tidak munasabah) akan memberi kesan yang dashyat kepada orang ramai.

Jika Menteri Kewangan sekarang benar-benar pemimpin yang cekap, bijak dan mendahulukan rakyat, sudah pasti beliau akan menaikkan kadar cukai RPGT kepada 30% serta merta apabila menjawat jawatan tersebut pada 2008.

Dalam hal ini, mujurlah Bank Negara bertindak pantas melarang mana-mana pemaju hartanah daripada menawarkan skim DIBS. Jika dibiarkan kepada Menteri Kewangan, silap haribulan harga hartanah akan lebih menggila.

DisebAbkan kecuaian Menteri Kewangan merangkap PM, ia telah mengurangkan kuasa beli isi rumah. Perkara ini jauh lebih menekan berbanding dengan kenaikan tambang tol, pengangkutan awam dan tariff elektrik.

Selain daripada bayaran pinjaman perumahan bulanan yang lebih tinggi, harga rumah yang tinggi telah menyebabkan sebilangan besar rakyat Malaysia sukar untuk memiliki rumah. Hakikat bahawa 1.05 juta yang berdaftar dengan PR1MA menjelaskan segalanya.

Jika harga rumah berjaya dikawal selia dan kadar kenaikannya munasabah, kerajaan tidak perlu mengeluarkan berbilion ringgit setahun untuk membina rumah mampu milik.

Penyokong PM Najib sering berkata pengenalan GST telah menyelamatkan Malaysia daripada kejatuhan harga minyak dan rakyat perlu memuji keberanian PM. Jadi, mengapa Perdana Menteri terbaik Malaysia gagal melihat perkara ini ketika menjawat jawatan tersebut pada 2009?

Walaubagaimanapun, penyokong PM Najib pasti boleh menjawab berkenaan dengan hal ini. Bahkan, mereka boleh memberi justifikasi mengapa harga rumah terlalu mahal adalah perkara biasa.

Sedangkan isu derma RM2.6 billon boleh dijawab dan dianggap biasa, inikan pula isu ini.

Tetapi jawapan tersebut tetap tidak akan menafikan bahawa ini adalah legasi Najib.

Di era beliau sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, harga rumah telah melambung tinggi sehinggakan harga rumah di Malaysia menjadi lebih mahal berbanding dengan United Kingdom, Singapura, Ireland dan Amerika Syarikat.

Di negara-negara maju tersebut, harga rumah adalah sekitar 2.6-5 kali ganda apabila  dibandingkan dengan pendapatan median rakyat. Malaysia? 5.5 kali ganda.

Fullscreen capture 12262015 74109 AM.bmp

Perkara ini tidak masuk akal kerana Malaysia bukanlah sebuah negara yang maju dan 50% isi rumah masih berpendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan.

Fullscreen capture 12262015 73309 AM.bmp

Sesungguhnya, Perdana Menteri selepas ini pasti boleh menarik nafas lega dan tidak perlu bertanggungjawab terhadap kenaikan harga rumah. Ini kerana ia adalah legasi PM terdahulu iaitu legasi Najib.

Legasi- sebagaimana yang kita tahu, boleh dijadikan sebagai alasan untuk melepaskan tanggungjawab seorang Perdana Menteri.

MatRodi

Ps: I’m back!

Pss: I’ve benefited from the research done by KRI. However, any faults, misunderstanding, misinterpretation lies with me.

Tagged , , , , , ,