TPPA JUAL NEGARA?

TPPA JUAL NEGARA?

TPPA dikatakan sebagai sebuah perjanjian yang bakal menjual negara Malaysia. Dakwaan ini dibuat kerana ia melibatkan Amerika Syarikat.

Benarkah?

Untuk melihat sama ada TPPA menjual negara atau mengugat kedaulatan negara, ia perlu dilihat dalam pelbagai aspek.

Pertama dari sudut sejarah TPPA.

Sedikit latar belakang: TPPA bermula pada tahun 2005 melalui negara P4 iaitu Singapura, Chile, Brunei dan New Zealand. Maknanya ia bukanlah sebuah inisiatif AS.

Namun, ia masih tidak menafikan kemungkinan AS akan ‘menjajah’ negara-negara TPPA.

Jadi perkara kedua yang perlu dilihat adalah bagaimana kerangka perjanjian TPPA dibuat.

Sedikit pemahaman: TPPA menggunakan konsep konsensus iaitu kesemua perkara mestilah mendapat persetujuan bersama. Ia bukanlah perjanjian di mana AS sudah menetapkan syarat dan memaksa 11 negara lain untuk bersetuju.

Sebab itu tempoh rundingan mengambil masa sehingga 5 tahun. Itupun berunding secara ‘controlled-secrecy’. Jika secara terbuka, ia mungkin lebih telus, tetapi besar kemungkinan, tempoh rundingan menjadi sangat lama.

Ketiga adalah dari struktur keahlian negara yang terlibat dengan TPPA.

Jika TPPA adalah alat AS untuk menjajah negara-negara TPPA, kemungkinan besar Vietnam awal-awal lagi telah menarik diri. 40 tahun dahulu, Vietnam telah berperang dan bermandi darah dengan AS. Tidak logik generasi Vietnam sekarang sudah bersedia merelakan negara mereka dijajah dengan AS.

Negara yang begitu nasionalistik seperti Jepun juga tidak mungkin membiarkan negara mereka dijajah kuasa luar.

Malahan negara jiran AS iaitu Mexico yang sudah menyertai NAFTA bersama AS pasti enggan melibatkan diri jika perjanjian seumpama ini tidak memberikan manfaat atau menindas mereka.

Sedikit fakta: Apabila Mexico menyertai NAFTA, terdapat kerisauan dalam sektor automotif yang ketika itu dilindungi oleh duti import yang tinggi, lesen dan kuota. Mexico hanya menghasilkan 6% jumlah kereta di Amerika Utara. Selepas NAFTA, saiz pasaran kereta yang dipasang dan dieskport oleh Mexico adalah 19% dengan 1.69 juta kenderaan sahaja ke pasaran AS.

Jika TPPA adalah perjanjian untuk negara pro-AS, mengapa negara mesra AS seperti Korea Selatan, Taiwan dan Hong Kong tidak termasuk sekali?

Jika TPPA adalah perjanjian untuk mengawal negara-negara yang kritikal terhadap AS, mengapa Singapura dan Australia turut sertai?

Jika TPPA adalah perjanjian untuk menjajah, mengapa Thailand, Indonesia, Filipina, Korea Selatan dan Taiwan berminat ingin sertai selepas TPPA dimuktamadkan?

Komposisi negara-negara TPPA serta kesediaan negara-negara lain menyertai TPPA tidak mencerminkan bahawa TPPA adalah alat AS untuk menjajah atau membeli kedaulatan mana-mana negara termasuklah Malaysia.

Keempat adalah perkembangan politik dalam negara AS sendiri.

Memandangkan AS dikatakan sebagai negara penjajah, maka adalah logik untuk kita lihat perkembangan terkini mengenai calon-calon Presiden AS. Baik Donald Trump mahupun Hillary Clinton, kesemua calon Republikan dan Demokrat menentang TPPA.

Mereka merasakan TPPA akan mengeksport peluang pekerjaan rakyat AS kepada negara TPPA dan standard perjanjian TPPA tidak ‘gold standard’ kerana tidak memberikan kebenaran AS untuk melaksanakan manipulasi mata wang (currency manipulation).

Ini sekaligus membuktikan kebenaran bahawa isi kandungan TPPA bukanlah ditetapkan oleh AS semata-mata. Jika tidak, mengapa ‘sang penjajah’ tidak dapat apa yang dikehendaki?

Lebih menarik, sekalipun 11 negara TPPA lain menandatangani perjanjian tersebut dan kongres AS menolaknya, TPPA akan tetap dilaksanakan walaupun tanpa AS.

Jika ini berlaku, siapa pula yang menjajah?

Kelima, yang terakhir, adalah isi kandungan teks TPPA.

Dalam apa-apa perjanjian, isi kandunganlah yang paling penting. Perjanjian Pangkor, walaupun 12 helai telah mampu menjajah Tanah Melayu beratus tahun lamanya. Ini kerana isi kandungan perjanjian itu yang ‘mengikat’ tanah air kita.

Berbeza dengan Perjanjian Pangkor, teks TPPA telah memberikan begitu banyak pengecualian kepada Malaysia. Antaranya adalah pengiktirafan dasar Bumiputera, perolehan syarikat milik kerajaan, persaingan SME, label halal dan sebagainya.

Namun di akhirnya, TPPA memberikan Malaysia hak untuk menarik diri dari TPPA dengan memberikan notis bertulis dalam masa 6 bulan. (Chapter 30: Final Provision, Article 30.6: Withdrawal)

Ini cukup berbeza dengan Perjanjian Pangkor yang tidak mempunyai klausa tersebut.

Perjanjian penjajahan mana yang memberikan jalan keluar?

#BantahTPPA #FahamiTPPA #FahamSebelumBantah

MatRodi

Advertisements
Tagged , , , ,

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: