Author Archives: MatRodi

FELDA 100 HARI

Felda 100 Hari 2-01

Apabila Felda mempunyai pengerusi baru pada 6 Januari awal tahun ini, ramai yang merasakan jawatan tersebut sewajarnya diberikan kepada seorang professional ataupun teknokrat.

Saya juga tidak terkecuali berpendapat sedemikian walaupun Tan Sri Shahrir Abdul Samad adalah seorang kenalan dan rakan.

Saya akui analisa dan ulasan ini mungkin akan dianggap sedikit bias.

Walaupun begitu, menjadi seorang rakan yang mengikuti perjalanan beliau sepanjang di Felda memberikan satu perspektif lain dalam menganalisa Felda.

Kemungkinan, terdapat juga beberapa perkara yang tidak boleh dikongsikan kepada umum.

Akan tetapi saya cuba memberi penilaian seobjektif yang mungkin.

Secara amnya, Felda mempunyai 4 isu utama yang memerlukan perhatian segera.

  1. Isu pertama adalah pelaburan ke dalam PT Eagle High.
  2. Isu kedua adalah isu kelangsungan modal.
  3. Isu ketiga adalah struktur tadbir urus dan governans.
  4. Dan isu keempat adalah perumahan.

Dalam isu pelaburan Felda ke dalam PT Eagle High, antara kritikan terbesar adalah jumlah pembayaran yang dikatakan terlalu tinggi.

Ramai yang mempersoalkan kewajaran Felda membayar pada harga tersebut tetapi tidak memiliki ‘controlling stake’.

Walaupun Felda membayar pada harga 30% lebih murah berbanding harga asal yang ditawarkan kepada FGV dan penilaian harga ini berdasarkan nilai ‘enterprise’ per hektar yang lebih tepat, apa yang lebih mustahak adalah apakah yang dirundingkan oleh pengerusi baru untuk menjadikan pelaburan tersebut lebih menguntungkan.

Antara perkara yang dirundingkan adalah pembayaran dividen selepas 6 bulan dari tarikh penbelian daripada Rajawali.

Hal ini berdasarkan prestasi hebat kumpulan Rajawali. Oleh itu, ia permintaan yang adil. Dan sedikit sebanyak ia boleh mengubah persepsi pengkritik.

Terdapat juga beberapa klausa yang memagari (ring-fenced) pelaburan Felda yang mana sekiranya beberapa syarat tidak dipenuhi, Felda akan mendapat sesuatu. Ini secara langsung mengurangkan lagi risiko pelaburan Felda.

Yang jelas, pelaburan ini adalah pelaburan yang strategik kerana ia bukannya berkaitan hasil ladang kelapa sawit semata-mata bahkan ia melangkaui kepada pendapatan berterusan Felda.

Nantikan pengumuman perkara ini tidak berapa lagi.

Felda Slide-01

Dalam isu kedua, kekurangan pendapatan Felda berlaku bukanlah akibat salah laku dan urus tadbir semata-mata.

Punca utama adalah apabila Felda ‘melepaskan’ sumber pendapatan utama mereka kepada FGV.

Pada masa yang sama tuntutan perbelanjaan sosial Felda saban tahun makin meningkat.

Lebih 70% perbelanjaan digunakan untuk perkara-perkara yang bukanlah bersifat komersil seperti pemberian subsidi, fasiliti pinjaman, bantuan hidup, infrastruktur dan banyak lagi.

Akibatnya, Felda mengalami defisit sebanyak RM700 juta ke RM1.1 billion setiap tahun.

Felda Slide-02

Jika ahli perniagaan memegang Felda, kemungkinan besar beliau akan terus melaksanakan langkah pemotongan perbelanjaan kerana itulah syarat untuk membaik pulih sesebuah syarikat yang tenat.

Tetapi bolehkah Felda atau khususnya peneroka Felda menerima perkara sedemikian?

Jangan lupa, Felda mempunyai hubung kait rapat dengan keadaan politik di negara dan sudah pasti kepada parti pemerintah.

Hakikat bahawa parti politik lawan juga menjadikan Felda sebagai isu nasional juga menjelaskan dividen politik dalam memenangi hati peneroka Felda.

Mereka yang naif atau terlalu obses dengan nombor sudah pasti akan mengambil langkah memotong perbelanjaan kerana ia adalah langkah yang tepat.

Penganalisis akan gembira, peneroka mungkin berduka.

Tetapi seorang ahli politik lebih celik akan hal ini dan beliau akan mencari jalan yang mungkin kurang digemari untuk penganalisis, tetapi langkah tersebut adalah mesra pengundi (baca: peneroka).

(Sekadar perbandingan, kita boleh rujuk kisah ‘turn around’ Malaysia Airlines yang memberhentikan 6,000 pekerja.)

Oleh itu, Pengerusi Felda membuat keputusan untuk menjual hartanah di luar negara walaupun ada sesetengah hartanah memberikan pulangan yang agak bagus.

Langkah ini samalah seperti menjual sedikit pegangan Felda dalam Maybank.

Adakah penganalisis dan pasaran mengkritik langkah ini? Ya.

Adakah peneroka dan staff Felda terkesan dengan urus niaga tersebut? Tidak.

Namun begitu, langkah ini masih bersifat sementara dan tidak menyelesaikan isu asas iaitu pendapatan berterusan.

Bagi menyelesaikan masalah ini, Felda sedang melakukan satu urusan (corporate maneuver) untuk kembali ke bidang perniagaan yang mereka terbukti kepakarannya iaitu- perladangan.

Lebih 1,000 hektar tanah kelapa sawit akan diperolehi dan sama ada ia adalah kawasan dalam negara atau luar Negara sama-samalah kita nantikan.

Secara tuntasnya, ia memberikan Felda sumber pendapatan yang berterusan.

Dalam isu ketiga iaitu tadbir urus dan governans, kita akui ia adalah perkara yang menyebabkan persepsi buruk terhadap Felda.

Lebih mengeruhkan keadaan lagi apabila ramai yang gagal membezakan Felda dan FGV meskipun kedua-duanya adalah entiti yang berbeza.

Apa yang menjadi kerugian FGV, disalahkan kepada Felda. Apa yang menyebabkan kerugian Felda, menjadikan harga saham FGV jatuh.

Langkah mempunyai dua individu yang berbeza menjadi pengerusi Felda dan FGV adalah langkah yang sedikit sebanyak boleh membetulkan persepsi tersebut.

Tetapi masih tidak cukup.

Masih terdapat beberapa masalah governans utama yang membelengu Felda.

Antaranya adalah struktur ‘check and balance’ di antara HQ, Rancangan, Wilayah dan Peneroka.

Bagaimana aduan dari peneroka akan benar-benar sampai ke HQ? Adakah arahan HQ akan dijalankan oleh Wilayah?

Bagi memperbaiki perkara ini, sebuah unit naziran ditubuhkan khas bagi melihat, membantu dan memantau segala isu berkaitan peneroka khususnya pengurusan kebun/ladang.

Kini peneroka boleh terus melaporkan kepada nazir yang dilantik tanpa perlu melalui proses saluran rasmi yang mungkin mengambil masa terlalu lama.

Unit naziran akan bertindak dalam masa kurang 48 jam kerana dunia hari ini bersifat segera. Musibah hari esok sudah menjadi berita pada hari ini.

Secara tidak langsung, unit ini berupaya menjadi ‘check and balance’ kepada peneroka dan juga Felda.

Seterusnya, langkah menerapkan tadbir urus yang bagus kepada Felda Investment Corporation (FIC) bermula dengan arahan Pengerusi Felda baru kepada ahli lembaga pengarah FIC supaya meletakkan jawatan.

Pada masa yang sama siasatan dan tangkapan SPRM kepada bekas pengarah besar dan beberapa pegawai kanan Felda dan FIC tidak diganggu malah diberikan kerjasama penuh.

Tidak lama lagi, FIC akan mempunyai ahli lembaga pengarah yang baru.

Dalam memastikan FIC menjadi sebuah unit pelaburan yang professional dan diyakini pasaran, tidak ada seorang pun ahli politik yang dilantik menjadi ahli lembaga pengarah FIC.

Bahkan Pengerusi Felda sendiri tidak akan menjadi pengerusi FIC demi amalan tadbir urus dan struktur governans yang bagus.

Ahli-ahli lembaga pengarah dipilih merangkumi pelbagai bidang seperti akauntan bertauliah, peguam, pakar pelaburan, pemain hartanah dan perbankan.

Lebih mengujakan adalah ahli lembaga pengarah termuda berumur lingkungan awal 40-an. Ini suatu perkara yang sihat.

Felda Slide-03

Bolehkah kita membayangkan jika seorang professional yang dilantik mejadi pengerusi agensi kerajaan kemudiannya memecat ahli politik yang ada di situ dan kemudiannya tidak memilih seorang pun ahli politik dari parti yang asalnya meletakkan beliau menjadi pengerusi?

Ini sedikit sebanyak menjelaskan mengapa Felda berlainan dan hanya ahli politik berpengalaman sahaja mempunyai ‘political will’.

Isu terakhir adalah perumahan.

Perumahan adalah tanggungjawab semua. Ia bukanlah isu Felda semata-mata, bahkan sudah menjadi isu nasional.

Disebabkan itu, adalah penting bagi semua pihak, dari kerajaan negeri sehinggalah ke agensi kerajaan untuk sama-sama menyelesaikan isu ini.

Felda juga tidak boleh menjadi bodoh sombong dengan mengekalkan cara lama iaitu dengan membina ribuan unit rumah pada harga subsidi. Ia memerlukan inisiatif baru yang lebih jimat dan effisien.

Untuk itu, Felda telah berunding dengan agensi kerajaan seperti SPNB, bertemu menteri-menteri besar kerajaan negeri dan bercakap dengan pihak berkuasa negeri dalam memperkenalkan sebuah inisiatif perumahan baru.

Inisiatif ini melibatkan pemberian tanah oleh kerajaan negeri (dan juga tanah milik Felda) yang mana pihak berkuasa negeri akan membantu dan mempercepatkan urusan pertukaran status, pecah lot dan hal-hal melibatkan kelulusan.

Peneroka akan menerima lot tanah dan mereka akan diberikan pinjaman dan bantuan kewangan dari agensi kerajaan seperti SPNB untuk membina rumah mengikut spesifikasi dan bajet yang ditetapkan.

Felda pula akan membina kemudahan asas seperti jalan raya, api air dan infrastruktur kegunaan awam.

Inisiatif ini bukan sahaja lebih berhemah dari sudut kewangan tetapi menunjukkan kepada umum bahawa Felda adalah tanggungjawab bersama.

Felda Slide-04

Projek sulung bagi inisiatif ini telah pun dilancarkan pada hujung Februari lepas di Keratong 5, Pahang dan lebih banyak lagi projek perumahan bakal menyusul.

*
Melantik seorang professional atau teknokrat sememangnya bagus. Perkara ini ada meritnya kerana golongan ini dianggap bebas dari pengaruh politik dalam membuat keputusan.

Maka, sudah pastilah ia perkara yang bagus kerana bagi sesebuah organisasi yang mempunyai begitu banyak dana, kontrak dan tender, keputusan sesuatu perkara tidak boleh dibuat mengikut kepentingan politik pengerusi.

Namun, sebagaimana yang kita tahu melalui tangkapan SPRM ke atas pengerusi, CEO dan pegawai kanan syarikat, agensi kerajaan, bank serta kementerian, sebilangan golongan professional dan teknokrat juga mempunyai sikap dan perangai yang sama dengan sesetengah ahli politik iaitu mereka juga ada kepentingan peribadi yang tidak baik.

Oleh itu, kemungkinan pandangan popular ini perlu diberikan pemikiran semula ataupun tidak boleh dijadikan sebagai ‘general rule’ apabila kita bercakap mengenai lantikan ahli politik kepada mana-mana GLC.

Namun, dalam kes Felda ia sedikit berlainan dan ada meritnya mempunyai ahli politik berpengalaman sebagai pengerusi.

Felda bukanlah sebuah entiti perniagaan seperti GLC sebaliknya ia adalah sebuah agensi Persekutuan yang amat berkait rapat dengan sosio politik negara dan kelangsungan ekonomi bagi kaum majoriti di Malaysia.

Jatuh bangun Felda memberi kesan kepada ratusan ribu orang Melayu- baik ekonomi mahupun politik.

Oleh yang demikian, Felda memerlukan seorang pengerusi yang bukan setakat mementingkan ‘book balance’ dan ‘bottom line’ akaun sebaliknya seorang yang peka dan sensitif mengenai aspek kebajikan peneroka, politik parti pemerintah, sentiment masyarakat dan ‘strike the right balance’ di antara semua pihak berkepentingan.

Lebih penting, pengerusi itu haruslah berkebolehan ‘pull some strings’ dari pihak-pihak berkepentingan tersebut.

Saya berpendapat (walaupun mungkin ramai yang kurang setuju), kebanyakan ciri-ciri ini ada pada kebanyakan ahli politik yang berpengalaman.

Kita semua tahu ahli politik adalah seorang yang tidak akan memikirkan untung rugi semata-mata.

Mereka juga akan menjaga sentimen nasional, kepentingan kawasan mereka, sokongan di peti undi beliau dan juga agenda tertentu yang mereka perjuangkan.

Tidak kiralah ahli politik parti mana tetapi secara amnya, itulah karakter mereka.

Saya tidak pasti bagaimana prestasi ahli politik yang menjadi pengerusi di organisasi yang lain tetapi untuk Felda, inilah analisa saya sepanjang 100 hari agensi persekutuan ini menerima pengerusi baru.

Mat Rodi

(Penulis merupakan CEO Hartabumi dan di masa lapang memberikan input berkenaan polisi dan bisnes kepada syarikat ride-sharing app, syarikat penerbangan, agensi kerajaan dan ahli-ahli parlimen.

Beliau juga merupakan penulis buku ‘Saring Sebelum Mereng’, ‘TPPA Harimau’ dan penulis bersama bagi buku “Chedet: Apa Habaq Orang Muda?’ dengan YABhg Tun Dr Mahathir.)

Advertisements

GAJI KAU NAIK BERAPA TAHUN LEPAS?

IG055

Dah habis cuti raya ni mesti poket dan koyak, dompet dah rabak dan duit hampir takdak.
 
Biasalah- banyak yang digunakan untuk berbelanja raya.
 
Budak-budak tak apalah pasal mereka dapat duit raya- yang saban tahun semakin naik ahgkanya. Jika dulu beri RM2 dikira ‘standard’, sekarang ni not hijau RM5 dah mula biasa.
 
Ha, bercakap pasal duit raya naik ni pernah tak kita fikir pasal gaji kita? Berapa banyak pula yang naik?
 
Kita mesti selalu dengar orang cerita pasal inflasi di mana harga semua benda akan naik. Harga beras naik, harga ayam naik, harga rumah lagilah menggila naik.
 
Tapi ramai yang akan kata ‘walaupun semua tu naik, tapi gaji tak naik banyak’. Betulkah?
 
Ini artikel yang ditulis oleh antara ahli ekonomi terbaik di Malaysia- Dr Muhammed Abdul Khalid. Beliau ini merupakan penulis bagi buku ‘The Colour of Inequality’ yang kandungannya digunakan oleh pasukan Tan Sri Wahid Omar dalam merangka RMK 11.
 
Terus baca!
 
BERAPA KENAIKAN GAJI TAHUN LEPAS?
 
Penulis ada bertanya kepada beberapa rakan mengenai persoalan di atas dan kebanyakan daripada mereka menjawab lima peratus.
 
Ada juga yang menggeleng kepala dan menjawab kosong peratus. Jawapannya tinggi sedikit; gaji penengah pekerja di Malaysia naik 6.5%, ataupun 4.4% setelah ditolak kadar inflasi.
 
Jika anda berasa ia ‘boleh tahan’, jangan lupa bahawa ia adalah bersamaan dengan kenaikan RM100 setahun, daripada gaji penengah RM1,500 sebulan pada tahun 2014 kepada RM1,600 pada tahun lepas. Ya, RM100 setahun.
 
Menurut Laporan Penyiasatan Gaji dan Upah 2015 yang dikeluarkan Jabatan Statistik Negara akhir bulan lepas, separuh daripada pekerja di Malaysia menerima gaji kurang dari RM1,600 sebulan.
 
Pekerja di Sabah berada di kedudukan yang paling teruk dengan gaji penengah berjumlah RM1,100 pada tahun lepas, ataupun hanya RM300 lebih daripada paras gaji minimum mereka.
 
Nasib pekerja yang bergaji sedikit bukan hanya fenomena di Sabah, malah di hampir kesemua negeri.
 
Hanya di Selangor, Putrajaya, dan Kuala Lumpur sahaja gaji penengah melepasi paras RM2,000 sebulan, manakala Putrajaya memperoleh gaji penengah tertinggi, iaitu RM2,967 sebulan. Tidak ada satu negeri pun di mana pekerjanya mendapat gaji penengah melebihi paras RM3,000 sebulan!
 
Negeri yang kaya dan maju seperti Pulau Pinang, Sarawak, Selangor dan Kuala Lumpur juga tidak menggambarkan bahawa pekerjanya mendapat gaji yang lumayan.
 
Sebagai contoh, hampir separuh daripada pekerja di Pulau Pinang menerima gaji bulanan kurang dari RM1,700; Selangor, RM2,175 dan Sarawak, RM1,260 sebulan. Ini merupakan kenaikan sebanyak RM60 berbanding tahun sebelumnya.
 
Malah, negeri terkaya di Malaysia, Kuala Lumpur pun separuh daripada pekerjanya mendapat gaji kurang daripada RM2,200 sebulan.
 
Tidak semua pekerja mendapat kenaikan gaji sebanyak 6.5%. Jika diteliti peningkatan gaji pekerja di negeri yang kaya dan maju seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, gaji mereka langsung tidak bertambah. Gaji penengah di kedua-dua buah negeri ini pada tahun 2015 adalah sama seperti tahun 2014, tidak berganjak walaupun satu peratus.
 
Negeri yang kurang maju seperti Kedah juga menerima nasib yang hampir sama di mana pekerja penengah di negeri jelapang padi itu menerima kenaikan sebanyak RM20 pada tahun lepas. Malah, jika ditolak dengan kadar inflasi, pendapatan sebenar mereka merosot.
 
Tidak hairanlah yang teruk terjejas adalah mereka yang tinggal di ibu kota. Manakan tidak, gaji tidak naik, tetapi kos sara hidup melonjak secara mendadak.
 
Pada tahun lepas, kadar tol naik hampir 30% dan tambang LRT dan komuter naik di antara 36% hingga 57%.
 
Ini belum termasuk lagi dengan kenaikan harga makanan. Pada masa sama, subsidi makanan seperti padi dan tepung juga telah dihapuskan.
 
Mengapa ini berlaku?
 
Nasib yang menimpa para pekerja bukanlah suatu misteri. Jika dilihat, ekonomi negara, walaupun masih berkembang, tetapi mengucup sedikit pada tahun 2015 berbanding tahun sebelumnya, daripada 6% kepada 5%.
 
Prestasi sektor korporat tidak memberangsangkan yang mana pendapatan korporat jatuh 12.1% pada tahun 2015 berbanding kemerosotan hanya 1.9% pada tahun 2014.
 
Ini memberi impak besar kepada pekerja, yang mana peratusan mereka tidak bekerja telah meningkat sebanyak 9.2% pada 2015. Lebih teruk lagi, peratusan pekerja yang telah diberhentikan meningkat 49% pada 2015 berbanding 2014, tertinggi sejak tahun 2010.
 
Persoalannya sekarang, adakah tahun 2016 akan memberi harapan dan sinar baharu untuk para pekerja di negara bertuah ini? Jawapannya bukan manis, tetapi pahit.
 
Prestasi ekonomi dunia dan negara dijangka berkembang pada paras lebih rendah berbanding 2015. Malah, ekonomi negara hanya mampu berkembang pada kadar 4.2% pada suku pertama tahun ini, peningkatan yang terburuk sejak enam tahun lalu.
 
Jualan runcit juga jatuh 4.4% pada suku pertama tahun ini, berbanding peningkatan 4.6% pada tahun lepas.
 
Pasaran buruh masih lemah, jumlah mereka yang tidak bekerja semakin meningkat sepanjang lima bulan pertama tahun ini. Pendapatan korporat pada suku pertama tahun ini juga berkurangan berbanding tahun sebelumnya.
 
Sekilas pandang, harapan kenaikan gaji yang lebih tinggi untuk tahun 2016 adalah amatlah tipis sekali.
Harapan penulis hanya satu, janganlah lagi rakyat dibebankan dengan kenaikan tol, kadar elektrik, air, dan sebagainya. Lupakan sebentar niat untuk menaikkan harga, setidak-tidaknya sehingga ekonomi negara kembali pulih dan gaji pekerja meningkat sedikit.
 
*
Jadi….. gaji kau naik berapa tahun lepas?
 
#GajiNaik
#GajiTakNaik
Tagged , , , , ,

UBER/GRAB DAN TEKSI- Bhg 1

IG053

UBER/GRAB DAN TEKSI- Bhg 1

Persaingan di antara ‘ride-sharing app’ seperti Uber/Grab dan teksi telah berlaku di seiuruh dunia. Malaysia juga tidak terkecuali.

Uber/Grab dikatakan telah mengganggu periuk nasi pemandu teksi di Malaysia. Maka digerakkanlah demonstrasi pada hari bekerja selama setengah hari dalam usaha menarik perhatian kerajaan dan orang ramai. Bagaimana demonstrasi tersebut mampu mengurangkan permintaan terhadap Uber dan Grab masih menjadi misteri.

Pada masa yang sama telah wujud beberapa ‘app’ bagi membantu pemandu teksi. Kewujudan aplikasi seperti iTeksi dan Taxi2u- walaupun dialu-alukan, tetapi masih tidak menangani isu sebenar yang membelenggu pemandu teksi sekian lama.

Apakah isu tersebut?

Isu pertama adalah struktur kos (cost structure).

Kita semua tahu bagaimana amalan industri teksi di Malaysia. Kerajaan mengeluarkan permit teksi dan diberikan syarikat dan ada permit untuk individu untuk mereka beroperasi.

65,292 permit teksi telah dikeluarkan dan 62% (40,480) adalah diberi kepada syarikat dan selebihnya kepada individu.

Syarikat-syarikat yang memegang permit ini kemudiannya menyewakan permit tersebut kepada pemandu teksi. Biasanya, permit tersebut disewakan sekali dengan kereta dalam konsep ‘sewa-beli’ atau sistem pajakan.

Maka, pemandu-pemandu ini akan mengikat kontrak dan bersetuju untuk membayar sejumlah bayaran tetap setiap hari kepada syarikat pemegang permit teksi.

Permit dapat, kereta pun dapat. Bagus bukan? Malangnya, tidak.

Pemandu-pemandu teksi yang  terikat dengan sistem pajakan ini terpaksa membayar kos yang mahal iaitu RM55 sehari. Ini bermaksud RM1,650 sebulan bagi tempoh 5 tahun. Dan…mereka hanya mendapat kereta Proton Saga atau Persona (harga pasaran: RM500 sebulan). Sedangkan pada kadar bulanan itu, mereka boleh perolehi Honda Civic ataupun Toyota Altis.

Persoalanya, mengapakah mereka dikenakan bayaran lebih 3 kali ganda?

Kita boleh faham sekiranya syarikat teksi menggunakan duit sewaan tersebut untuk melabur kembali kepada teknologi dan kualiti servis bagi memajukan industri teksi negara. Namun, nampaknya tidak.

Jika tidak, mengapa pemandu teksi kita dikatakan adalah yang terburuk di dunia?

Jadi, adakah syarikat-syarikat yang diberikan permit teksi ini hanya untung atas angin? Adakah tidak ada nilai tambah yang diberikan kepada pengguna, industri dan juga kepada sistem pengangkutan awam bandar? Nampaknya, ya.

Di sinilah punca utama yang menyebabkan pemandu teksi sukar untuk bersaing dengan pemandu Uber dan Grab.

Mereka memulakan ‘persaingan’ dengan liabiliti RM55 setiap hari. Sedangkan kos pemandu Uber dan Grab adalah kosong (RM0).

Pemandu teksi tidak mempunyai kekerapan mendapat penumpang yang tinggi sebagaimana pemandu Uber dan Grab. Biasanya mereka mengambil masa 4-6 jam untuk meperoleh RM55 bagi ‘break-even’.

Tanpa teknologi dalam membantu meningkatkan kekerapan mendapatkan penumpang telah mengakibatkan pemandu teksi menunggu di lapangan terbang, stesen LRT, pusat beli belah berjam-jam lamanya hanya untuk mendapatkan seorang penumpang. Bukankah ini tindakan yang kurang produktif?

Disebabkan kurang produktif, mereka terpaksa bekerja lebih 10 jam sehari bagi mendapatkan keuntungan.

Sedangkan, pemandu Uber dan Grab hanya perlu bekerja beberapa jam untuk mendapat untung kerana kos mereka rendah dan kekerapan mendapatkan penumpang adalah tinggi.

Bukankah ini suatu persaingan yang tidak adil?

Isu kedua adalah ‘peak-hours reliability’ iaitu kecekapan ketika waktu puncak.

Secara amnya, permintaan terhadap teksi berubah-ubah mengikut waktu dan keadaan. Permintaan menjadi sekali ganda lebih banyak ketika hujan, waktu pergi/balik kerja dan malam minggu. Dalam erti kata lain, permintaan adalah elastik.

Akan tetapi, ‘supply’ teksi adalah tetap (constant).

Pemandu teksi mendakwa berlaku lambakan teksi di jalan raya. Namun, pihak berkuasa berpendapat sebaliknya dengan mengatakan permintaan tidak pernah cukup.

Siapakah yang benar? Jawapannya, kedua-duanya.

Lambakan teksi berlaku ketika di waktu ‘non-peak hours’ dan permintaan meningkat apabila ‘peak hours’.

Oleh itu, bagaimanakah teksi mampu menangani isu tersebut?

Uber dan Grab nampaknya berjaya memberikan solusi dengan menggunakan kaedah fleksibiliti harga di mana kadar tambang di kawasan yang sedang sibuk akan dinaikkan. Ini membuatkan pemandu Uber dan Grab terdorong untuk ke sana bagi memenuhi permintaan.

Pemandu teksi tidak mempunyai keupayaan sedemikian dan membawa kita kepada isu ketiga iaitu fleksibiliti harga.

Kadar tambang teksi adalah tetap berdasarkan meter. Selain daripada caj minimum, sistem perkiraan tambang meter ataupun kupon tidak akan boleh mengatasi isu ‘peak hours reliability kerana pemandu tidak ada insentif bagi memenuhi permintaan yang sentiasa berubah-ubah.

Mengambil kira tiga isu ini, apakah perkara terbaik yang boleh dilakukan untuk mencari jalan penyelesaian?

Wajarkah perkhidmatan ‘ride-sharing app’ diharamkan?

Adakah sudah tiba masanya konsep pajakan teksi dimansuhkan?

Bersambung.

MatRodi

Tagged , , , ,