Tag Archives: UMNO

SOALAN KEPADA TUKANG JAWAB

Dalam cubaan membela PM Najib Razak, YB Rahman Dahlan telah mengesahkan bahawa wang derma USD700 juta telah masuk ke akaun peribadi Presiden parti.

Maknanya, ini bukannya akaun parti yang dibuka dan didaftarkan di atas nama tiga pemegang amanah sebagaimana amalan parti dahulunya.

Sebaliknya- ini adalah akaun peribadi.

Menerima derma sebanyak itu dan dimasukkan ke akaun parti politik tidak ada salahnya. Parti boleh menerima 2.6 billion mahupun 260 billion wang derma. Malah bukan isunya. Hatta NGO yang kononnya ‘Bersih’ juga diberikan ‘derma’ dari pihak luar untuk kegiatan mereka.

Tetapi menerima derma sejumlah wang tersebut dan dimasukkan ke dalam akaun peribadi presiden boleh menimbulkan persoalan.

Persoalan pertama adalah adakah ahli Majlis Tertinggi telah berbincang dan bersetuju menjadikan akaun peribadi Presiden parti bagi tujuan menerima derma?

Jika sudah berbincang dan sepakat, mengapa terdapat ahli Majlis Tertinggi merangkap Menteri Penerangan ketika itu (Shabery Cheek) berkata “tidak logik PM ambil wang sebanyak itu masuk ke akaun peribadi.”

Bahkan, Ketua Penerangan UMNO Ahmad Maslan berkeras “Perdana Menteri bodoh mana yang akan mengambil RM2.67 bilion untuk dimasukkan ke dalam akaun peribadinya. Jika benar, ia adalah kebebalan yang terlalu amat sangat,”

Adakah ini cubaan mereka untuk menggulingkan presiden parti yang dipilih secara demokratik?

Tetapi mereka tidak pula digugurkan daripada jemaah kabinet sebagaimana nasib Timbalan dan Naib Presiden.Tidak juga mereka disoal siasat polis.

Sama ada PM Najib telah melakukan kebebalan yang teramat sangat ataupun tidak tidaklah penting.

Persoalannya yang kedua adalah, jika perkara ini tidak pernah dibincangkan di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi, siapa pula yang memberikan kebenaran untuk menjadikan akaun peribadi beliau sebagai akaun amanah?

Tidak logik Presiden melantik diri sendiri tanpa berbincang. Perlembagaan UMNO juga tidak mempunyai peruntukan tersebut.

Persoalan ketiga- jika ahli MT UMNO tidak tahu mengenai wang derma ini dan sememangnya derma tersebut digunakan untuk tujuan politik, tujuan politik siapa?

Politik parti ataupun politik Presiden parti?

Jika politik parti, masakan ahli MT UMNO tidak tahu?

Jika politik presiden parti, tidakkah ini bermakna beliau telah menggunakan wang tersebut bagi tujuan peribadi?

Ini bercanggah dengan kenyataan beliau yang menafikan penggunaan sebarang wang bagi keuntungan peribadi. Sesungguhnya memenangi pilihanraya akan mengekalkan beliau sebagai Perdana Menteri dan ini adalah keuntungan bagi dirinya.

Pengarah Komunikasi Barisan Nasional serta barisan menteri yang baru dilantik boleh berkata apa sahaja mengenai derma politik. Mereka boleh berkata seperti adalah lebih selamat wang derma masuk ke akaun peribadi PM dan parti memerlukan lebih banyak wang.

Tetapi ini bukanlah kebenaran sebaliknya skrip/jawapan yang dibuat ‘after thought’.

Hakikat perkara ini baru disebut berminggu-minggu selepas pendedahan awal dibuat membuktikan mereka juga seperti kita semua yang tidak tahu apa-apa.

Isu mengapa wang derma ke akaun peribadi presiden penting bukan kerana kita tidak mahu wang derma bagi perjuangan parti. Ramai yang faham keperluan dana yang banyak untuk kerja-kerja politik.

Sebaliknya, kita tidak mahu ‘rasuah jadi budaya, amanah dikhianati dan parti membisu hanya untuk membela golongan tertentu atas nama kesetiaan pada parti. Atau disiplin kepartian mentaati pemimpin’ – sebagaimana yang disebut oleh MB Johor.

Mat Rodi

ps: Persoalan terakhir adalah, kalau akaun peribadi PM dikatakan sebagai akaun amanah parti, bagaimana pula wang derma yang masuk ke akaun peribadi isterinya?

Itu amanah untuk apa/siapa?

Tagged , , , , ,

JAWAPAN KEPADA PENYOKONG 1MDB

ig039

“1MDB tak boleh jual tanah di TRX pada harga beli sebab dah keluar belanja untuk bangunkan tanah tersebut.” – Penyokong 1MDB dalam usaha mewajarkan penjualan tanah TRX kepada Tabung Haji.

Ada segelintir penyokong 1MDB berkata tanah Tun Razak Exchange (TRX) tidak boleh dinilaikan pada harga beli. Maknanya harga masa beli pada kerajaan RM64 sekaki tidak terpakai.

Kononnya 1MDB telah mengeluarkan duit untuk kerja-kerja bersihkan tanah, bina akses jalan raya dan terowong, lebarkan jalan, bina ‘treatment plant’, kerja-kerja substruktur lain dan pampasan bagi perniagaan yang terjejas di tapak tersebut.

Maka, diberikanlah video TRX untuk menyokong dakwaan mereka. ( https://www.youtube.com/watch?v=QGHYzP6QA30&feature=youtu.be )

Kesemua kerja ini, menurut mereka, jumlahnya sekitar RM2 billion.

Oleh itu, 1MDB tidak boleh menjual tanah di TRX pada harga beli, sebaliknya perlu dicampur dengan kos tersebut.

Kononnya apabila dicampur dengan kos yang telah dikeluarkan, harga per kaki tanah tersebut menjadi sekitar RM2,000 per kaki.

Maka penjualan tanah di TRX kepada Tabung Haji pada harga yang ditetapkan adalah wajar.

Soalnya, adakah benar kos-kos yang dikatakan itu berjumlah RM2 billion?

Pertama sekali, kos RM2 billion ini boleh diragukan.

Memang terdapat kerja-kerja asas yang dilakukan, tetapi ia tidaklah sampai sehingga RM2 billion.

1) Setakat ini, 1MDB hanya memberi kontrak RM169.3 juta kepada WCT Holdings Bhd untuk kerja-kerja substruktur dan ‘earthworks’.

Rujuk:

http://1mdb.com.my/press-release/construction-of-trx-commences

http://www.wct.com.my/about/about.aspx?c=1&a=6&sa=26

2) Untuk kerja-kerja seperti pembinaan jalan, akses terowong bawah tanah dan pembinaan utiliti, kosnya masih tidak diketahui kerana kerja-kerja masih belum dibuat.

1MDB baru sahaja mengeluarkan tender bagi kerja-kerja ini.

Rujuk: http://trx.my/contractors-invited-for-pre-qualification-exercise-for-infrastructure-and-roadway/

Malah, sehingga ke hari ini, tender tersebut belum diberi.

Rujuk: http://www.1mdb.com.my/press-release/tun-razak-exchange-outlines-next-phase-of-infrastructure-work

Jadi, bagaimana kerja yang masih belum dibuat sudah boleh dikatakan sebagai kos RM2 billion tersebut?

3) 1MDB terpaksa membina pusat perniagaan bersepadu (ICC) bagi 260 peniaga yang terjejas dengan pembangunan TRX.

Kos bangunan tersebut adalah RM57 juta.

Rujuk:

http://trx.my/1mdb-and-dbkl-are-building-a-new-integrated-commercial-centre-to-house-traders-relocating-from-pasar-baru-bukit-bintang/

http://m.utusan.com.my/berita/wilayah/kl-putrajaya/kompleks-icc-bernilai-rm57j-siap-2016-1.18393

4) IMDB sudah mengadakan pertandingan bagi memilih ‘master-planner’ untuk projek TRX.

Sebanyak 12 firma arkitek telah disenarai pendek.

Rujuk: http://trx.my/12-collaborations-of-top-local-and-global-architects-shortlisted-to-enter-next-round-of-design-competition/

Kebiasannya, ada bayaran tetap dibayar untuk firma-firma tersebut. Mengikut kebiasaan, bagi pertandingan mereka bentuk master plan projek ‘mix development’ yang mempunyai GDV RM40 billion, kos yang dibayar adalah sekitar RM100-500 ribu bagi setiap firma.

Jumlah maksimum baru sahaja RM6 juta.

Firma arkitek yang menang pula dibayar mengikut kemajuan projek tersebut tetapi dengan keadaan kemajuan TRX sekarang, adalah tidak mungkin bayaran beratus juta sudah dibuat.

Begitu juga dengan kos pemasaran dan pengurusan TRX. Tidak logik jika sudah menelan berbillion ringgit.

Mengambil kira kesemua kos-kos yang telah dikeluarkan, jumlahnya hanyalah sekitar RM 233 juta.

Ini bersamaan dengan RM76 per kaki per segi.

Dengan harga kos beli tanah RM64 sekaki dan RM76 sekaki kos membangunkan tanah, jumlahnya baru sahaja RM140 per kaki per segi.

1MDB menjual tanah tersebut pada harga sekitar RM2,800 per kaki per segi. Ia masih 20 kali ganda lebih tinggi.

Wajarkah?

Kedua, isunya bukan sama ada Tabung Haji membeli pada harga pasaran atau tidak.

Sebaliknya, mengapa kerajaan boleh memberikan tanah premium pada harga yang murah kepada 1MDB tetapi tidak pada Tabung Haji? Keduanya adalah milik kerajaan.

Jika PM boleh menasihati Tabung Haji untuk menjual kembali plot tanah yang dibeli, mengapa nasihat tidak diberikan kepada 1MDB untuk menjual pada harga yang murah kepada GLC yang lain?

Dengan cara ini, aset tersebut masih di tangan kerajaan.

Tetapi 1MDB memilih untuk mendapatkan keuntungan atas angin.

Ini membuktikan bahawa 1MDB memerlukan dana kerana mengalami masalah aliran wang tunai.

Perkara ini terjadi kerana mereka meminjam terlalu banyak.

Wang pinjaman itu pula tidak diketahui ke mana pergi sepenuhnya.

Penyokong 1MDB tidak boleh memberikan penjelasan tentang ‘kehilangan’ wang tersebut. begitu jugalah dengan penasihat 1MDB.

Kesimpulannya, kos RM2 billion yang digunakan untuk mengjustifikasikan harga jualan tanah TRX adalah tidak tepat,

1MDB tidak pernah mengeluarkan fakta sedemikian.

Jika 1MDB boleh mencanangkan angka RM2.7 billion untuk kos kemudahan tentera ekoran urusan jual beli tanah di Bandar Malaysia, mengapa angka RM2 billion tidak diberitahu untuk tujuan kerja-kerja tanah TRX?

Penyokong 1MDB sering berkata akaun 1MDB tidak bermasalah kerana telah diaudit oleh juruaudit bertauliah. Tetapi kos RM2 billion ini tidak pula disebut di dalam akaun 1MDB.

Adakah ini bermakna mereka lebih mengetahui daripada juruaudit?

Meminjam ungkapan Chedet, ‘jika tidak tahu, diam sajalah.’

MatRodi

Tagged , , , , , , ,

Isu Hudud- Dakwah atau Politik?

ISU HUDUD

Hudud di Malaysia bukanlah satu dakwah ataupun ibadah. Ia adalah modal politik untuk meraih sokongan politik.

Kenapa ia dikatakan begitu? Pertama, parti yang paling utama memperjuangkan hudud iaitu PAS tidak begitu ikhlas mahu melaksanakan hudud di Malaysia.

Jika mereka ikhlas dan benar-benar komited terhadap perjuangan ini, mengapa hanya bertanding 1/3 daripada jumlah kerusi Parlimen ketika pilihanraya? 30% ahli parlimen daripada PAS tidak mampu meluluskan sebarang undang-undang di Parlimen. Jadi sudah jelas PAS bukan sahaja tidak boleh melaksanakan hudud secara bersendirian sebaliknya memerlukan kerjasama parti politik yang lain.

Soalnya, mengapa bekerjasama dengan parti politik yang terang-terangan tidak akan akan menerima hudud seperti DAP? Alasan PAS adalah ‘lambat laun DAP akan memahami hudud dan menyokong perlaksanaannya’. Benarkah? Jika demikian, hujah ‘lambat laun’ ini boleh juga diguna pakai kepada UMNO- parti melayu/Islam yang dikatakan menentang hudud. Jadi, bukankah kebarangkalian ‘lambat-laun’ ini lebih cerah terjadi kepada UMNO berbanding dengan DAP? PAS mungkin terlupa ahli UMNO juga adalah orang Islam dan ada sebilangan daripada mereka sudah faham tentang hudud. Ini sama sekali berbeza dengan ahli DAP.

Hakikatnya adalah, PAS berkongsi ‘power base’ yang sama dengan UMNO iaitu orang melayu/Islam. Jika mereka bekerjasama dengan UMNO, undi terhadap PAS tidak akan meningkat berbanding dengan bekerjasama dengan DAP. Penyokong PAS mungkin berkata inilah strategi yang baik. Memang benar. Jika demikian, mereka bersetuju strategi yang baik ini adalah untuk kuasa politik semata-mata. Apa guna kuasa ini jika di akhirnya perjuangan hudud PAS tidak tercapai kerana tentangan rakan kongsi?

Seterusnya PAS berkata hudud bukan lagi keutamaan, sebaliknya agenda kemiskinan, kezaliman, keadilan dan negara berkebajikan jauh lebih penting. Ini dapat dilihat bukan sahaja melalui manifesto mereka sebaliknya turut diterjemah apabila mereka memerintah Kedah, memegang jawatan MB Perak dan juga mempunyai kerusi terbanyak di Selangor, mereka tidak melaksanakan hudud. Sudah jelas hudud hanyalah agenda politik demi meraih undi di kalangan rakyat yang mudah ‘dibeli’ dengan tawaran hudud membawa ke syurga dan ditakutkan dengan jika tidak sokong PAS yang memperjuangkan hudud, neraka menanti mereka.

Kebenarannya adalah, PAS bukanlah badan dakwah. PAS adalah parti politik dan sebagai parti politik, mereka semakin bijak dan licik dalam strategi mereka untuk meraih sokongan. Apabila didapati bekerjasama dengan penentang tegar hudud membawa lebih banyak sokongan, PAS mengenepikan perbezaan hudud di antara parti dan juga menyingkirkan pemimpin-pemimpin yang konservatif. Ini sekali lagi membuktikan selama ini hudud hanyalah senjata politik. Apabila sudah tidak relevan, hudud tidak lagi diendahkan.

Keduanya, parti yang sering diberi gambaran sebagai menentang hudud iaitu UMNO juga menjadikan hudud sebagai agenda politik mereka. Parti ini menggunakan hudud untuk memecah-belahkan kerjasama PAS dengan DAP dan PKR. UMNO tahu hudud adalah duri dalam daging di antara pakatan PAS, DAP dan PKR. Oleh itu mereka membangkitkan isu hudud ini dengan harapan PAS akan tersepit di antara perjuangan mereka dan persefahaman di antara PAS,DAP dan PKR.

Sekiranya PAS memilih untuk meneruskan hudud, UMNO melalui MCA akan bertanya pendirian DAP dan PKR dengan harapan kedua parti ini akan bercanggah dan bertingkah dengan PAS. Sebaliknya, jika PAS memilih untuk tidak perjuangkan hudud, UMNO akan mengkritik PAS kerana bersikap hipokrit. Hakikatnya, UMNO  juga menjadikan hudud sebagai senjata politik.

Baru-baru ini hudud menjadi hangat- mungkin lebih hangat dari biasa kerana UMNO-sama ada ikhlas atau licik, tampak bersetuju hudud dilaksanakan oleh PAS di Kelantan.

Sepatutnya di zaman Tun Dr Mahahtir dan Nik Aziz sudah bersara ini, polemik hudud sudah tidak lagi kedengaran. Sudah jelas hudud di Malaysia bukanlah dakwah mahupun ibadah, sebaliknya alat politik. Rakyat Malaysia sewajarnya menjadi lebih matang dan memahami permainan ini.

Jika kedua parti ini jujur ingin melaksanakan hudud, mengapa tidak ada satu pun dialog bersama mengenai hudud bagaimana yang mereka ingin laksanakan di sebuah negara berbilang agama yang juga mempunyai dua jenis sistem kehakiman. Jika benar ‘lambat laun’ hudud akan diterima semua, mengapa tidak ada usaha PAS atau UMNO memberi penerangan kepada rakan mereka DAP, MCA dan PKR?

Mengapa setelah lebih 30 tahun, kita sebagai rakyat Malaysia masih lagi tidak mengetahui adakah hudud ini hanya untuk orang islam sahaja ataupun turut dikenakan terhadap orang bukan Islam dan sama ada undang-undang jenayah hudud ini akan menghapuskan pengamalam ‘penal code’ atau diimplementasi secara bersama. Jika dilaksanakan, adakah polis syariah akan ditubuhkan bagi tujuan penguatkuasaan?

Harus diingat asas utama Islam adalah keadilan. Keadilan hanya dapat dilihat, dinilai dan diamalkan apabila perkara-perkara sebegini dijawab. Sekadar berkata kita mahu laksanakan hudud tanpa memberi penjelasan yang jelas tentang perlaksanaannya akan membawa lebih banyak masalah dan ketidak adilan. Usah beretorik di sebalik ayat ‘ini hukum Allah’ untuk menutup mulut mereka yang mahukan penjelasan begini. Sedangkan perintah solat pun hadir bersama kaedah perlaksanaannya (berapa rakaat, rukun solat, bacaan dan sebagainya), inikan pula undang-undang jenayah yang ingin diguna pakai di dalam sebuah masyarakat yang mempunyai 30 juta manusia.

Kedua-dua parti ini iaitu PAS dan UMNO, sekiranya benar-benar ikhlas mahukan hudud di Malaysia wajib menjelaskan kepada kita berkenaan dengan persoalan-persoalan di atas.

Tanpa penjelasan yang jelas, ia sekali lagi membuktikan hudud digunakan sebagai permainan politik. Bukan sahaja mereka mempermainkan golongan yang benar-benar ikhlas mahukan hudud dan golongan yang benar-benar ambil berat akan kesan perlaksanaan hudud di Malaysia, mereka juga mempermainkan agama Islam serta sudah jelas mereka ketandusan idea dan visi terhadap negara.

Mengkritik parti politik berkenaan dengan hudud adalah berbeza dengan mempersoalkan hudud. Harap para pembaca jelas mengenai perkara ini. Mohon komen yang bernas.

MatRodi

Tagged , , , , ,